Howdy Mate: Tabik pelajar kita sanggup ikat perut untuk beri sokongan(source: Berita Harian)
SEMANGAT sekumpulan pelajar negara yang sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk hadir di Melbourne untuk memberi sokongan kepada kontinjen negara di Sukan Komanwel, sememangnya sesuatu yang amat dibanggakan.
Pelajar ini bukan saja daripada kalangan pelajar di Melbourne tetapi di serata Australia termasuk Darwin, Sydney dan juga Perth, semuanya dengan hasrat yang sama - memberi sokongan kepada atlit negara.
Ada yang sanggup menaiki kereta api selama 12 jam dari Sydney ke Melbourne dan kemudian menumpang di rumah rakan. Tidak kurang juga yang terpaksa mengikat perut untuk perbelanjaan perjalanan jauh serta tiket pertandingan kerana sedar temasya sebegini bukan datang selalu.
Sudah tentu peluang untuk menyaksikan atlit bertaraf dunia beraksi tidak mahu dilepaskan apa lagi sesudah berada di negara Down Under ini. Apa lagi berpeluang untuk melihat pemain negara secara lebih dekat, tentunya ia sesuatu yang lebih menarik.
Pengorbanan pelajar sebegini wajar dihargai oleh kontinjen negara atau atlit yang bakal menyertai pertandingan di luar negara pada masa depan sama ada dibalas dengan keputusan terbaik atau sekadar menghabiskan sedikit masa untuk beramah mesra dengan mereka.
Kerana mereka inilah peminat sebenar yang sanggup berhabis dan berkorban masa demi sukan negara, tidak seperti sesetengah pihak sekadar hadir kerana syok sendiri menerusi tiket percuma.
Bagi penyokong yang bernasib baik, ada yang mendapat kemeja T Harimau Malaysia yang diagihkan kontinjen negara tetapi untuk penyokong sejati seperti mereka, ia bukannya keutamaan walaupun pasti bersyukur jika mendapatnya.
Seperti kebiasaan, masih ada VIP mahupun orang yang menganggap dirinya VIP serta anak-anak mereka yang hanya sanggup berhabis untuk membeli belah tetapi ‘menyusahkan’ pihak lain bagi mendapatkan mereka tiket percuma menyaksikan Sukan Komanwel ini.
Lebih pelik, kelompok ini hanya mahukan tiket acara yang menjanjikan emas seperti badminton – mungkin sekadar mahu kelihatan berada di sana kononnya merekalah peminat sejati.
Jika dilihat latar belakang kelompok ini, rasanya mereka berkemampuan untuk membeli tiket sendiri tetapi nyata lebih gemar menggunakan saluran tertentu bagi mendapatkan keistimewaan sedangkan pada masa sama menafikan hak orang lain yang terpaksa menyerahkan tiket bagi diserahkan kepada kelompok berkenaan.
Terpaksalah juga pengurus pasukan skuad badminton negara, Ahmad Mohd Idris terkejar-kejar menguruskan tiket dan menyerahkannya kepada ‘si-peminat’, sedangkan tugasnya adalah untuk menguruskan pemain negara.
Bagi penulis, kelompok seperti ini ‘sendiri mahu fikirlah’ sebelum terus menjadi bahan ketawa di kalangan media dan pegawai sukan.
...makan cili? rasa pedas?hehehe, nasiblaaa
No comments:
Post a Comment